Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat terakhir manakala pingat emas milik pelumba tuan rumah, Chris Hoy. Maximilan Levy dari Jerman meraih perak dan gangsa dikongsi bersama oleh pelumba New Zealand, Simon van Velthooven dan Teun Mulder dari Belanda.
Hoy memang seorang pelumba yang hebat dalam acara keirin kerana pernah memenangi tiga pingat emas Kejohanan Trek Dunia dan emas Olimpik 2008 Beijing, manakala Levy pula pernah memenangi emas, perak dan gangsa di Kejohanan Trek Dunia.
Digelar The pocketrocketman, Azizulhasni bermula di barisan belakang enam pelumba yang bertarung pada saingan sebelum meningkatkan kayuhan untuk berada di barisan depan.
Namun, ketika saingan berbaki satu pusingan, Azizulhasni yang kedudukannya lebih ke dalam terkepung sebelum pelumba Belanda, Mulder datang dari arah belakang dan menghimpit sekali gus menyukarkannya untuk memintas.
Ini adalah kali pertama pelumba kelahiran Dungun itu berjaya menempah ke saingan akhir dalam penampilan keduanya di Sukan Olimpik.
Empat tahun lalu di Beijing dia menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan penentuan ketujuh hingga ke-12 selepas gagal mara ke akhir.
Seperti di Beijing 2008, Hoy tidak mempunyai masalah untuk membawa pulang emas di tanah kelahirannya.
Kejayaan Azizulhasni ke saingan akhir mengulangi pencapaian seorang lagi jaguh keirin negara, Josiah Ng yang pernah mara di peringkat yang sama pada Olimpik Athens 2004, bagaimanapun penyertaannya dibatalkan.
Pelumba berusia 24 tahun itu pernah memenangi pingat perak keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Ballerup, Denmark dan meraih emas dalam acara yang sama di Sukan Asia 2010 Guangzhou.
Februari tahun lepas Azizulhasni mendapat tumpuan dunia selepas terlibat dalam kemala ngan ngeri di Siri Piala Dunia Klasik Manchester mengakibat kan betis kaki kirinya tercucuk serpihan trek.
Berikutan kegagalan Azizulhasni dalam berbasikal trek, harapan kini beralih ke bahu penerjun negara, Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform manakala seorang lagi, Yeoh Ken Nee telahpun menempatkan diri ke final.
Malaysia kini masih kekal dengan satu pingat perak daripada pemain badminton perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei. - Utusan
No comments:
Post a Comment