|
|
Turut digelar penghibur sepanjang masa, sumbangannya kepada dunia muzik, tarian dan fesyen membuatkan dia menjadi ikon budaya pop selama empat dekad ini.
Mungkin berita buruknya membuatkan ramai melupakan seketika bakatnya. Namun, kehilangan permata itu setahun lalu membuatkan kita mengingati semula pengaruh serta impak yang disalurkan menerusi setiap lagu dendangannya.
Seperti kata Michael dalam satu temu bual pada tahun 2007: "Muzik adalah ekspresi saya, hadiah saya kepada semua pencinta di dunia ini. Menerusi muzik, saya tahu saya akan hidup selama-lamanya di hati peminat saya."
SELAIN Michael Jackson, dunia hiburan dipenuhi dengan ikon yang telah pergi tetapi pernah meninggalkan impak besar terhadap industri seni. Nama-nama seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Marilyn Monroe atau Leslie Cheung misalnya adalah sebahagian daripada permata seni yang pergi meninggalkan kita dengan segudang sumbangan dan memori yang tidak akan berganti. Kosmo! menyenaraikan betapa ikonik dan sinonimnya tiga lagi mutiara seni iaitu Elvis Presley, Allahyarham P.Ramlee dan Anita Mui kepada dunia seni.
|
|
Nama penuh: Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh
Nama komersial: Tan Sri P.Ramlee
Tarikh lahir: 22 Mac 1929
Tarikh meninggal: 29 Mei 1973 (44 tahun)
Punca kematian: Masalah jantung
LEGENDA industri perfileman Melayu ini menonjol sebagai aktor, pengarah, penyanyi dan juga penulis lagu. Allahyarham P.Ramlee mula berkecimpung dalam dunia muzik semasa belajar di Penang Free School dan berlakon apabila bakatnya dikesan oleh pengarah filem Tamil, B.S Rajhans.
Lakonan pertamanya, Chinta diterbitkan pada tahun 1948 dengan memegang watak penjahat, karier Allahyarham mula berkembang apabila terlibat dalam 27 buah filem dari tahun 1948 dan 1955. Filem terakhir lakonan Allahyarham adalah Laksamana Do Re Mi (1972) dan lirik terakhir tulisannya, Ayer Mata Di Kuala Lumpur (1973).
Mengarah dan berlakon dalam 66 buah filem, dia pernah menggubah dan menulis lebih 360 buah lagu. Banyak filem popular termasuk Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Ibu Mertua Ku, Laksamana Do Re Mi, Madu Tiga, Tiga Abdul, Anak Bapak, Keluarga 69, Ali Baba Bujang Lapok, Penarik Becha dan banyak lagi masih ditayang di kaca TV sehingga kini.
Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 1990.
Pada tahun 1986, rumah terakhirnya di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P Ramlee. Namanya juga diabadikan untuk salah sebatang jalan di Kuala Lumpur. Sempena sambutan ulangtahun ke-50 kemerdekaan Malaysia, P.Ramlee juga terpilih sebagai 10 calon akhir program Anak Gemilang Malaysia.
|
|
Nama penuh: Anita Mui Yim Fong
Tarikh lahir: 10 Oktober 1963
Tarikh meninggal: 30 Disember 2003 (40 tahun)
Punca kematian: Kanser rahim
MEMBERI pengaruh kuat kepada industri kanto-pop di Asia, Anita digelar sebagai Madonna Asia oleh media Barat. Popular kerana kostum pelik dan juga persembahan bertenaga, Anita mampu menjadi tarikan selama 20 tahun tempoh kariernya.
Sungguhpun meninggal pada usia muda, muzik dan legasi filemnya masih berterusan. Mengetahui dirinya tidak dapat sembuh, penghibur itu mengadakan beberapa persembahan terakhir, Anita Classic Moment Live Concert. Persembahan itu merangkumi lapan konsert dan berlangsung di Coliseum, Hong Kong pada tahun 2003.
Ribuan peminat menghadiri upacara pengkebumiannya di North Point, Hong Kong pada Januari 2004. Sepanjang kariernya, Anita turut menjadi mangsa media. Selain didakwa mengambil dadah, melakukan pembedahan plastik, cubaan membunuh diri serta dikaitkan dengan kematian ketua kongsi gelap, Anita juga digosipkan mempunyai hubungan sulit dengan beberapa aktor.
Pada tahun 2007, sebuah siri TV sebanyak 42 episod diterbitkan di China dengan judul Anita Mui Fei yang menceritakan kisah hidup penyanyi ikonik itu. Selain daripada China, stesen televisyen Hong Kong, TVB, turut menerbitkan sebuah program, Our Anita Mui pada 11 Oktober, 2008.
|
|
Nama penuh: Elvis Aaron Presley
Tarikh lahir: 8 Januari 1935
Tarikh meninggal: 16 Ogos, 1977 (42 tahun)
Punca kematian: Dadah
DIGELAR Raja Rock n Roll, Elvis Presley yang memulakan karier pada tahun 1954 menjadi fenomena bukan sahaja kerana vokal tetapi kerana stail persembahan dan penampilannya. Dilabelkan sebagai salah seorang figura penting dalam budaya pop kurun ke-20, vokalnya yang versatil menjadikan dia artis solo paling laris dalam sejarah muzik pop.
Mengalami nasib yang hampir sama dengan Michael, momen-momen akhir Elvis juga dikaburi dengan pelbagai kontroversi dan berita-berita negatif. Selain tidak lagi mampu beraksi di atas pentas, tahap kesihatan Elvis juga merudum akibat penggunaan dadah secara berlebihan.
Ribuan peminat berkumpul di luar Graceland semasa kematian Elvis. Hampir 80,000 peminat berbaris sehingga ke tanah perkuburan Forest Hill di mana Elvis dikebumikan bersebelahan dengan ibunya. Populariti Elvis telah membuatkan mayatnya hampir dicuri. Disebabkan itu, mayat Elvis dengan ibunya dikebumikan di Meditation Garden, Graceland.
No comments:
Post a Comment