Tuesday, August 7, 2012

'Impian Bolt Ingin Bersama MU'

'Pilihlah saya Fergie'

Usain Bolt
LONDON - Manusia terpantas dunia, Usain Bolt semalam sekali lagi merayu Alex Ferguson agar memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi Manchester United.
Juara 100 meter Olimpik itu mengulangi impiannya itu apabila ditanya wartawan mengenai cabarannya pada masa akan datang selepas mempertahankan mahkota raja pecut.
Ini bukan kali pertama Bolt meluahkan niat tersebut kerana dia juga pernah menyuarakan hasrat yang sama ketika melawat kelab kesayangannya itu pada 2009 selepas bertanding dalam satu kejohanan di Manchester.
Bolt, 25, turut menegaskan, dia tidak bergurau apabila mengharapkan Ferguson memberi peluang kepadanya untuk beraksi buat gergasi bola sepak Liga Perdana Inggeris itu, malah menyuarakan hasrat untuk mengganti kekosongan yang bakal ditinggalkan pemain sayap, Ryan Giggs apabila dia bersara nanti.
"Orang ingat saya bergurau tetapi sebenarnya tidak. Kalau Alex Ferguson menghubungi saya dan berkata 'Okey, mari kita lakukannya, datang dan jalani sesi percubaan', maka amat mustahil untuk saya menjawab tidak.
"Saya tidak akan menyahut cabaran kalau saya tidak fikir saya cukup bagus. Saya seorang pemain bola sepak terlatih, saya ada skil dan tahu saya mampu membawa perbezaan dalam skuad sedia ada.
"Selain menjadi pemain terpantas dalam pasukan, saya juga mampu bermain dengan baik," ujar Bolt, yang pernah percaya dia boleh bermain baik sama ada diletak di posisi tengah, sayap mahupun penyerang.
Bintang Jamaica yang memiliki ketinggian 1.95 meter itu turut menambah: "Saya akan berada di Britain untuk beberapa hari lagi. Jika Alex Ferguson mahu menghubungi saya, dia tahu di mana saya berada."
Bolt memukau peminat olahraga di seluruh dunia dengan mencatat rekod Olimpik 9.63 saat, catatan masa kedua terpantas dalam sejarah pada perlumbaan Ahad lalu untuk mempertahankan mahkota 100m.
Beberapa peminat United turut teruja dengan prospek Bolt bakal menyarung jersi pasukan kesayangan mereka.
Salah seorang daripadanya, Chris Hicks, 49, berkata: "Kita patut meletakkannya dalam barisan simpanan untuk setahun, biar dia berlatih dan apabila Ryan Giggs bersara, kita sudah ada bakal penggantinya."

Azizulhasni terlepas pingat

Azizulhasni Awang (dua dari kanan) bersaing sengit dengan jaguh Britain, Chris Hoy (kanan) dalam laluan melayakkan diri ke perlumbaan akhir keirin Sukan Olimpik di Veledrom Olimpik, London semalam. Dia bagaimanapun kecewa apabila sekadar menduduki tempat keenam dalam perlumbaan akhir acara itu.
LONDON - Impian melihat kilauan emas dalam berbasikal trek lebur selepas pelumba sensasi negara Mohd. Azizulhasni Awang yang garang menuju ke garisan penamat dihimpit pelumba Belanda sehingga memusnahkan harapan pingat keirin lelaki Sukan Olimpik di sini, semalam.
Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat terakhir manakala pingat emas milik pelumba tuan rumah, Chris Hoy. Maximilan Levy dari Jerman meraih perak dan gangsa dikongsi bersama oleh pelumba New Zealand, Simon van Velthooven dan Teun Mulder dari Belanda.
Hoy memang seorang pelumba yang hebat dalam acara keirin kerana pernah memenangi tiga pingat emas Kejohanan Trek Dunia dan emas Olimpik 2008 Beijing, manakala Levy pula pernah memenangi emas, perak dan gangsa di Kejohanan Trek Dunia.
Digelar The pocketrocketman, Azizulhasni bermula di barisan belakang enam pelumba yang bertarung pada saingan sebelum meningkatkan kayuhan untuk berada di barisan depan.
Namun, ketika saingan berbaki satu pusingan, Azizulhasni yang kedudukannya lebih ke dalam terkepung sebelum pelumba Belanda, Mulder datang dari arah belakang dan menghimpit sekali gus menyukarkannya untuk memintas.
Ini adalah kali pertama pelumba kelahiran Dungun itu berjaya menempah ke saingan akhir dalam penampilan keduanya di Sukan Olimpik.
Empat tahun lalu di Beijing dia menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan penentuan ketujuh hingga ke-12 selepas gagal mara ke akhir.
Seperti di Beijing 2008, Hoy tidak mempunyai masalah untuk membawa pulang emas di tanah kelahirannya.
Kejayaan Azizulhasni ke saingan akhir mengulangi pencapaian seorang lagi jaguh keirin negara, Josiah Ng yang pernah mara di peringkat yang sama pada Olimpik Athens 2004, bagaimanapun penyertaannya dibatalkan.
Pelumba berusia 24 tahun itu pernah memenangi pingat perak keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Ballerup, Denmark dan meraih emas dalam acara yang sama di Sukan Asia 2010 Guangzhou.
Februari tahun lepas Azizulhasni mendapat tumpuan dunia selepas terlibat dalam kemala ngan ngeri di Siri Piala Dunia Klasik Manchester mengakibat kan betis kaki kirinya tercucuk serpihan trek.
Berikutan kegagalan Azizulhasni dalam berbasikal trek, harapan kini beralih ke bahu penerjun negara, Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform manakala seorang lagi, Yeoh Ken Nee telahpun menempatkan diri ke final.
Malaysia kini masih kekal dengan satu pingat perak daripada pemain badminton perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei. - Utusan